PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli kini berada di landasan terbaik untuk menembus kelompok lima terbaik Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 selepas mempamerkan aksi cemerlang bangkit daripada petak ke-16 untuk menamatkan Grand Prix (GP) Belanda di kedudukan ketujuh.
Keputusan itu membolehkan pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mengumpul sembilan mata berharga sekali gus melonjak ke tangga keenam keseluruhan dengan 82 mata, berkongsi mata bersama pelumba Indonesia, Veda Pratama.
Peluang Hakim Danish untuk memecah kelompok lima terbaik dunia kini semakin terbuka sekiranya mampu mengekalkan rentak konsisten ketika perlumbaan masih berbaki 12 pusingan.
Lebih membanggakan, pelumba berusia 19 tahun itu terus mengukuhkan kedudukan sebagai pencabar utama bagi anugerah Rookie of the Year apabila berada di tangga kedua dengan 82 mata, hanya 20 mata di belakang pendahulu dari Sepanyol, Brian Uriarte.
“Saya berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh hari ini. Perlumbaan kali ini memang sangat mencabar kerana saya terpaksa memberikan tekanan maksimum pada setiap pusingan sehingga ke garisan penamat.
“Dalam lima pusingan terakhir saya mula berdepan masalah dengan tayar belakang. Saya cuba mempertahankan kedudukan dan terus bersaing untuk merebut podium, tetapi malangnya tidak berjaya.
“Keadaan tersebut menjejaskan tunggangan saya dan jika tersilap percaturan saya mungkin terbabas dan kehilangan mata penting dalam kejuaraan,” katanya.
Hakim pada mulanya melepasi garisan penamat di tempat ke-10, namun keputusan rasmi menyaksikan dia dinaikkan ke kedudukan ketujuh selepas beberapa pelumba di hadapannya dikenakan penalti.
Hakim berkata, dia akan menjadikan perlumbaan di Assen sebagai pengalaman berharga untuk terus memperbaiki kelemahan menjelang Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring pada 12 Julai depan.














