KUALA LUMPUR – Tindakan dua lelaki tempatan yang disyaki memiliki dadah melarikan diri daripada polis mengundang padah apabila mereka ditahan di Jalan Kuching menghala ke pusat bandar, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.46 malam itu, suspek yang memandu kereta jenis Perodua Viva turut merempuh tiga kenderaan lain ketika dikejar polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya turut mengesan rakaman video kejadian yang tular di media sosial.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju telah mengesan sebuah kereta jenis Perodua Viva dalam keadaan mencurigakan di kawasan Wangsa Maju sekitar pukul 5.30 petang.
“Pemandu bersama seorang penumpang dipercayai enggan memberhentikan kenderaan apabila diarahkan oleh pihak polis.
“Kejadian kejar-mengejar kemudian berlaku dari kawasan Wangsa Maju sehingga ke Jalan Kuching,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, setibanya di lokasi kejadian, suspek dipercayai memandu secara berbahaya dengan bergerak di antara lorong kiri dan kanan jalan sebelum hilang kawalan.
Katanya, akibat kejadian tersebut, kereta suspek telah merempuh tiga kenderaan lain melibatkan Perodua Bezza, Honda City serta Perodua Viva yang sedang berhenti akibat kesesakan lalu lintas.
Menurutnya, kejadian hanya mengakibatkan kerosakan dan tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.
“Kedua-dua suspek berusia 40 dan 42 tahun berjaya ditahan di lokasi kejadian oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Wangsa Maju.
“Hasil pemeriksaan telah menjumpai dadah disyaki heroin seberat 19.63 gram dan kes disiasat disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Bagi kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil supaya menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














