DUNGUN – Seorang warga emas yang berkerusi roda bersama dua anak lelakinya dan dua penjawat awam merupakan antara 196 individu positif dadah yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Perdana di seluruh Terengganu sejak kelmarin.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Mahadzir Elias berkata, kesemua mereka termasuk tiga wanita berusia 19 hingga 66 tahun itu ditahan di empat daerah iaitu Dungun, Hulu Terengganu, Besut dan Kuala Terengganu.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati seramai 159 individu positif metamfetamin, ketum (34), ganja (dua) dan heroin (satu).
“Antara yang ditahan ialah lelaki berusia 66 tahun yang berkerusi roda bersama dua anak lelakinya berusia 39 dan 30 tahun di sebuah rumah di Besut semalam. Mereka didapati positif metamfetamin,” katanya selepas mengetuai operasi itu semalam.
Mahadzir berkata, sewaktu ditahan, warga emas yang mempunyai 13 anak itu mendedahkan dia mula terjebak dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sejak 36 tahun lalu.
Katanya, suspek tidak dapat mengawal ketagihannya biarpun sudah berkerusi roda akibat penyakit saraf selain memakai lampin pakai buang. – KOSMO! ONLINE














