JOHOR BAHRU – Seorang warga emas berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah lebih RM1.12 juta lesap selepas terjerat dengan helah licik sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai pendakwa raya dan pegawai Bank Negara Malaysia (BNM).
Mangsa lelaki tempatan berusia 63 tahun yang bekerja sendiri itu hanya menyedari dirinya ditipu selepas hadir membuat semakan di balai polis sebelum tampil membuat laporan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd. Shaffei berkata, kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita pada 4 Mac lalu.
Menurutnya, wanita terbabit memperkenalkan diri sebagai pegawai pendakwa raya dan mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram.
“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada beberapa individu lain yang mendakwa diri mereka sebagai pegawai BNM.
“Mangsa yang panik dipercayai telah dipengaruhi suspek sehingga bersetuju membuka akaun bank khas kononnya bagi membantu siasatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrul Hisham berkata, suspek seterusnya mengarahkan mangsa memindahkan wang simpanan ke akaun yang diberikan atas alasan proses pengesahan dan siasatan.
Menurut beliau, antara Mac hingga Mei lalu, mangsa melakukan sebanyak 51 transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM1,125,000.
“Mangsa turut diminta membuat beberapa bayaran tambahan yang didakwa bagi tujuan siasatan, jaminan mahkamah dan pemprosesan dokumen.
“Hanya selepas membuat semakan dengan pihak polis, mangsa menyedari dirinya telah menjadi mangsa penipuan,” katanya.-KOSMO! ONLINE














