PONTIAN – Kegembiraan sebuah keluarga membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha bertukar cemas apabila seorang wanita warga emas dilaporkan hilang ketika melalui kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Medan Sari, di sini hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Nathiah Selamat, 77, dikatakan gagal pulang ke rumah selepas keluar ke kawasan kebun tersebut bersama seorang waris, kira-kira pukul 11 pagi.
Difahamkan, warga emas itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sri Bunian sebelum disedari hilang oleh ahli keluarga yang menemaninya ke kawasan berkenaan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khairul Anwar Ab Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6 petang dan seramai lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dijalankan dengan pencarian dibahagikan kepada dua sektor bagi memperluaskan kawasan pencarian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setakat malam ini mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR terus digerakkan melibatkan kawasan sekitar kebun serta laluan yang dipercayai dilalui warga emas terbabit. – KOSMO! ONLINE














