PONTIAN – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda terhadap dua individu selepas masing-masing mengaku bersalah menjadi keldai akaun dalam kes pinjaman tidak wujud membabitkan kerugian lebih RM1,500.
Majistret Nurhafiza Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap seorang ibu tunggal, Nurul Fatihah Abdullah, 32, dan seorang lelaki, Sajahan Mohamad Ali, 52, sejurus pertuduhan dikemukakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Nurul Fatihah didakwa secara tidak jujur mengalihkan wang milik Nur Rashidah Rahmat berjumlah RM1,119.84 ke dalam akaun bank miliknya di alamat PTD Lorong Haji Zawawi, Parit Semerah di sini pada 19 November 2024.
Sementara itu, Sajahan yang bekerja sebagai mekanik pula didakwa mengalihkan wang milik Syed Farhan Syed Nor berjumlah RM480.50 ke dalam akaun bank miliknya di Pico Play Sdn. Bhd., Lot 5233, Kampung Jeram Batu, Pekan Nanas pada 16 Jun 2025.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Nurul Fatihah dalam rayuannya memberitahu mahkamah dia bekerja sebagai pekerja pembersihan di Kemunting, Perak dengan pendapatan RM1,100 sebulan selain menanggung seorang anak yang tinggal di asrama.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadapnya dan penjara sebulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh gagal menjelaskan denda sebelum dihantar ke Penjara Simpang Renggam, Kluang untuk menjalani hukuman penjara.
Sementara itu, Sajahan yang mempunyai isteri dan lapan anak termasuk empat masih bersekolah didenda RM500 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda.
Bagaimanapun, tertuduh membayar denda tersebut.-KOSMO! ONLINE














