KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memperketat syarat kelulusan pembangunan bagi mengelakkan isu berkaitan kerja tanah dan pembangunan tidak terkawal berulang pada masa depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh ketika mengulas isu laporan kolam takungan banjir yang dibuat beliau pada 2021 ketika masih berada di blok pembangkang berkata, kawasan terlibat sebelum ini merupakan tanah milik persendirian dan perkara itu tidak berada di bawah bidang kuasa kementerian ketika isu berkenaan mula berlaku.
“Satu laporan terperinci akan disediakan bagi mengenal pasti punca sebenar selain memastikan langkah pencegahan dapat dilaksanakan.
“Saya sendiri telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana perkara ini masih tertakluk kepada siasatan. Jadi saya perlu mendapatkan status daripada SPRM sebelum memberi komen lanjut,” katanya kepada pemberita.
Sebelum ini, Hannah mendedahkan kapasiti kolam takungan banjir di Jinjang dan Batu menyusut kepada kira-kira 30 peratus selepas 17 lot tanah dipindahkan kepada pemaju.
Jumlah keluasan asal kolam takungan banjir adalah 114.5 hektar membabitkan 17 lot tanah, namun kini hanya tinggal 34.35 hektar badan air selepas pemberian milikan.
Bagaimanapun, selepas pendedahan itu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan beliau mempunyai pengetahuan mengenai pemindahan tanah kolam takungan banjir kepada pemaju di ibu negara
Dalam pada itu beliau berkata, antara langkah utama yang diambil ketika ini ialah penguatkuasaan pelan tempatan yang telah diwartakan selain penubuhan pasukan petugas khas di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan.
Katanya, pasukan itu akan bekerjasama rapat dengan JPS bagi memastikan setiap permohonan perintah pembangunan kepada DBKL memenuhi semua syarat teknikal sebelum kelulusan diberikan.
“Kita sekarang mempunyai garis panduan baharu yang diperketatkan oleh JPS.
“Setiap permohonan pembangunan perlu memenuhi semua keperluan teknikal ditetapkan sebelum DBKL memberikan kelulusan,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.














