PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap projek dan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) mesti benar-benar memberi manfaat serta dapat dirasai rakyat di lapangan.
Menurut beliau, perkara itu ditegaskan ketika mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Seremban di Negeri Sembilan, hari ini bagi meneliti status pelaksanaan program serta projek di bawah RMK-13.
Katanya, perbincangan mesyuarat memberi fokus kepada aspek yang dekat dengan keperluan rakyat termasuk pendidikan, tebatan banjir, infrastruktur, kesihatan serta pengukuhan sosioekonomi.
“Saya tegaskan bahawa setiap projek dan program yang dirangka mesti benar-benar memberi manfaat serta dirasai rakyat di lapangan.
“Justeru, Kerajaan Madani akan terus menyelaras seluruh ikhtiar merentas kementerian dan agensi agar pelaksanaan lebih cekap serta penyampaian bantuan dan pembangunan dapat dipercepat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, pemantauan projek juga perlu diperkukuh bagi mengelakkan kelewatan, ketirisan atau masalah pelaksanaan yang boleh menjejaskan rakyat.
“Setiap projek mesti dipantau dengan teliti dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta amanah.
“Keutamaan kita (kerajaan) adalah memastikan setiap perancangan diterjemah kepada tindakan yang berkesan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














