LUMUT – Nelayan tempatan berjaya menemukan satu mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia dipercayai perempuan yang terlibat kejadian bot karam pada Isnin lalu di perairan Pulau Pangkor petang ini.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Muhamad Shukri Khotob berkata, mayat berkenaan ditemui di kedudukan 31.5 batu nautika dari lokasi bot yang membawa PATI berkenaan tenggelam.
“Mayat tersebut disyaki perempuan melalui pakaiannya. Ia diambil alih daripada nelayan oleh bot Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Perkasa 1239.
“Mayat berkenaan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) di Kg. Acheh, Sitiawan pada pukul 2.35 petang tadi,” katanya di sini hari ini.
Hanya dua mangsa yang masih belum ditemui setakat ini dengan kesemuanya masih lagi dari dicari menerusi Op Carilamat oleh pasukan keselamatan yang terdiri daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), APMM dan PPM.
Media pada Isnin lalu melaporkan mengenai sebuah bot disyaki membawa 37 orang PATI warga Indonesia tenggelam di kedudukan kira-kira 8.2 batu nautika barat Pulau Pangkor.
Sehingga hari ini, jumlah mangsa yang ditemui selamat adalah seramai 23 orang iaitu 16 orang Lelaki dan tujuh orang perempuan. – KOSMO! ONLINE













