fbpx
Ahmad Zahid.

KKDW jimat RM250 juta, Mara dan agensi tawar diskaun sewa premis usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama agensi di bawahnya melaksanakan beberapa langkah proaktif bagi membantu rakyat dan usahawan berdepan tekanan ekonomi semasa serta krisis bekalan global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu rakyat mendepani cabaran kos sara hidup selain memperkukuh Agenda Ekonomi Desa Nasional.

Katanya, KKDW berjaya merekodkan penjimatan sekurang-kurangnya RM250 juta menerusi pelarasan perbelanjaan dan penyusunan semula program secara lebih efisien tanpa melibatkan dana projek pembangunan luar bandar.

“Penjimatan ini diperoleh hasil daripada langkah pelarasan perbelanjaan dan penyusunan semula program secara lebih efisien.

“Hasil penjimatan tersebut akan dikembalikan kepada Kementerian Kewangan (MoF) bagi menyokong keperluan subsidi bahan api negara kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam masa sama katanya, Majlis Amanah Rakyat (Mara) bersetuju menurunkan kadar sewaan sehingga 20 peratus melibatkan 7,135 lot premis perniagaan di seluruh negara bagi membantu mengurangkan beban usahawan dan peniaga.

Selain itu, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang turut menawarkan diskaun sewaan sehingga 20 peratus membabitkan lebih 400 lot premis termasuk kadar minimum sewa serendah RM100 sebulan bagi membantu memperkukuh aliran tunai perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

“Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah pula melaksanakan pengurangan kadar sewa premis perniagaan antara 10 hingga 20 peratus melibatkan 355 premis di bawah seliaan agensi tersebut,” ujarnyq.

Sementara itu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah bersetuju melaksanakan pengurangan kadar sewaan sebanyak 20 peratus membabitkan 552 unit premis perniagaan miliknya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, langkah berkenaan diyakini mampu membantu memperkukuh daya tahan ekonomi rakyat dan usahawan desa dalam menghadapi cabaran semasa.

“KKDW akan terus komited memperluas inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat demi memastikan pembangunan ekonomi desa terus mampan, inklusif dan berdaya tahan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN