PETALING JAYA – Pegawai media yang mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya berhampiran Maran, Pahang ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026, tengah malam tadi.
Ahmad Zahid berkata, bagaimanapun semua pegawai yang terlibat selamat dan tidak mengalami kecederaan serius dalam kejadian tersebut.
“Alhamdulillah, mereka semua selamat dan tidak mengalami kecederaan serius. Syukur ke hadrat Allah SWT atas perlindungan dan rahmat-Nya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai khususnya mereka yang sedang bertugas agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika memandu.
“Rehat secukupnya, pandu kenderaan dengan berhati-hati dan sentiasalah mengutamakan keselamatan walau sesibuk mana sekalipun,” ujarnya.
Beliau turut mendoakan agar semua yang terlibat segera pulih sepenuhnya serta sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT. – KOSMO! ONLINE














