PETALING JAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan peruntukan keseluruhan RM315,000 bagi menaik taraf bilik guru serta pemasangan penyaman udara di sekolah sekitar Parlimen Nibong Tebal sempena sambutan Hari Guru 2026.
Menerusi kenyataan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal, empat sekolah menerima peruntukan naik taraf bilik guru berjumlah RM105,000 iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman, Sekolah Kebangsaan Saujana Indah, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Kampung Jawi dan SJK Tamil Ladang Transkrian.
Selain itu, Fadhlina turut menyalurkan peruntukan RM210,000 menerusi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal bagi pemasangan penyaman udara di bilik guru melibatkan kesemua 42 sekolah di kawasan itu.
Menurut Fadhlina, usaha berkenaan dilaksanakan bagi memastikan aspek kesejahteraan dan kebajikan guru terus diberi perhatian.
“Pelbagai inisiatif dilaksanakan Kementerian Pendidikan bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan warga pendidik diberi perhatian. Ini termasuk usaha berterusan bagi menangani beban tugas guru.
“Inisiatif naik taraf bilik guru dan pemasangan penyaman udara adalah antara langkah yang diambil bagi memastikan keselesaan guru sewaktu di sekolah dapat ditingkatkan,” katanya.
Sementara itu, Fadhlina menerusi hantaran di Facebook berkata, guru-guru di Nibong Tebal merupakan pendidik yang sangat berdedikasi dan sentiasa mendukung aspirasi pendidikan negara.
Beliau turut menyifatkan lawatannya ke SJKT Ladang Transkrian sebagai satu kejutan istimewa sempena Hari Guru apabila membawa hadiah termasuk sumbangan RM10,000 bagi penyelenggaraan bilik guru serta penghawa dingin.
“Anak-anak cukup bersemangat menyanyikan lagu Negaraku dan Negeri Kita menandakan mereka telah diasuh dengan begitu baik oleh para guru di sekolah ini.
“Selamat Hari Guru,” ujarnya.
Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan pelaksanaan inisiatif naik taraf bilik guru di sekolah seluruh negara berjumlah RM100 juta ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 pada Januari lalu. – KOSMO! ONLINE














