fbpx
Danish Raman Kamar ketika dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

[VIDEO] Penuntut kolej didakwa bunuh suami isteri dalam kemalangan di Jalan Ampang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang penuntut kolej didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh pasangan suami isteri dalam nahas kemalangan di Jalan Ampang awal bulan ini.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Danish Raman Kamar Kumaresan ,24,selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh A.Doraisingam, 61, dan isterinya A.Menagah, 56, di Jalan Ampang dari arah KLCC menghala ke Ampang Point pukul 5.30 pagi pada 2 Mei lalu yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu, memperuntukkan hukuman mati, atau boleh dihukum penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun. Sekiranya hukuman penjara dikenakan, tertuduh hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 17 Ogos ini bagi sebutan semula kes.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faizal @ Amrin Noor Hadi manakala tertuduh diwakili peguam Devinder Kaur Dhaliwal dan Mansheel Kaur.

Sementara itu anak saudara mangsa Doraisingam K. Suresh Kumar, 47, berkata menjadi rutin harian pakciknya menghantar isteri ke Hospital Gleneagles setiap pagi kerana isterinya bekerja di sana.

“Pakcik dan makcik saya mempunyai tiga orang anak berusia antara 19 hingga 26 tahun dan mereka berada dalam keadaan baik selepas kejadian itu.

“Kami tidak mengharapkan apa-apa selain keadilan dapat ditegakkan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.

Sebelum ini media melaporkan pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Ampang di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.34 pagi melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal jenis Honda Wave Alpha dinaiki pasangan suami isteri terbabit.

Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal iaitu lelaki tempatan berusia 61 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng yang berusia 56 tahun turut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi sama. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN