fbpx
Tangkap layar pergaduhan antara pelajar di sebuah sekolah menengah di Bedong dekat sini yang tular di media sosial petang semalam.

Sindir-menyindir punca 10 pelajar bergaduh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Perbuatan sindir-menyindir dan mengata di media sosial dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan pelajar perempuan sebuah sekolah di Bedong dekat sini Rabu lalu.

Pergaduhan yang membabitkan 10 pelajar antara pukul 1 tengah hari hingga 2 petang di hadapan sekolah berkenaan itu menyebabkan empat pelajar tingkatan satu, dua, tiga dan empat mengalami kecederaan lebam-lebam di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanya Ramlan berkata, pihaknya mengesan satu klip video yang tular di media sosial memaparkan kejadian pergaduhan itu yang dipercayai berlaku pada 13 Mei lalu.

“Namun semakan mendapati tiada laporan polis dibuat mana-mana pihak sebelum Ketua Polis Balai Bedong (OCS) bertindak membuat laporan polis keesokan harinya.

“Bertindak atas laporan berkenaan pihak kita kemudian memulakan siasatan dan mendapati kejadian itu berlaku semasa pelajar pulang sebaik selesai sesi persekolahan pagi,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.

Kata Hanyan hasil temu bual dengan pihak sekolah, kejadian itu berpunca dari salah faham membabitkan penggunaan media sosial apabila beberapa pelajar dikesan saling sindir-menyindir dan mengata sesama mereka.

“Guru kelas dan pentadbiran sekolah berkenaan yang ditemui memaklumkan telah menasihati pelajar terlibat dan kes dianggap selesai apabila pelajar itu saling bermaafan. Namun semasa bertembung di luar sekolah ketika pulang, berlaku pertengkaran sesama mereka sebelum beberapa pelajar terlibat saling tolak menolak antara satu sama lain,” katanya.

Kata Hanyan, pergaduhan kecil itu kemudiannya cuba dileraikan oleh rakan mereka yang kemudiannya merebak melibatkan lebih 10 pelajar lain.

“Pihak kita kemudiannya berjaya menahan tujuh orang daripada mereka yang berusia antara 13 hingga 16 tahun dan sedang menjejaki beberapa lagi pelajar yang terlibat dalam pergaduhan itu,” katanya.

Ujarnya, sehingga kini sebanyak tujuh rakaman keterangan telah diambil daripada pelajar berkenaan dan pihaknya dalam proses mengesan saksi lain untuk melengkapkan siasatan.

“Kita membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan dalam proses melengkapkannya sebelum diserahkan kepada pejabat pendakwaan dalam masa terdekat,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN