PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah hingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah seluruh Perlis dan Langkawi di Kedah.
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Kuching (Kuching), Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit dan Selangau), Mukah (Dalat dan Mukah), Miri (Subis) dan Limbang di Sarawak,” katanya.
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat (Papar, Penampang dan Ranau), Tawau (Kunak dan Lahad Datu) dan Sandakan (Telupid, Kinabatangan dan Beluran).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














