MELAKA – Seorang penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak kandung perempuannya berusia 10 dan 12 tahun, sejak Februari lalu.
Tertuduh berusia 39 tahun yang merupakan seorang penjawat awam bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut dua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya berusia 12 tahun kira-kira pukul 8 pagi, pada 29 April lalu.
Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sama terhadap anak perempuannya berusia 10 tahun sekitar pertengahan bulan Februari lalu.
Justeru itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebatan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif, manakala tertuduh diwakili peguam Quek Kia Ping.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM24,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat dipohon pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes untuk serahan dokumen ditetapkan pada tarikh 10 Ogos ini. – KOSMO! ONLINE














