KOTA BHARU – Seorang bapa menyimpan hasrat untuk bertemu dengan penerima kornea mata arwah anak lelakinya yang maut dalam kemalangan di susur masuk Iskandar Puteri, Lebuh Raya Link Kedua Arah Selatan, Johor pada 23 Mei lalu.
Sharulanuar Baharom, 56, berkata, pertemuan itu diharapkan dapat menjadi pengubat kerinduan dirinya, isteri adik-beradik kepada arwah Muhammad Jaris Amirul, 28.
Katanya, mengikut maklumat yang diperoleh, kornea mata anak sulung daripada enam beradik itu sudah mempunyai penerima.
“Sebelah kornea didermakan kepada seorang wanita berusia 21 tahun di Johor Bahru manakala sebelah lagi kepada seorang lelaki berusia 56 tahun dari Sungai Buloh, Selangor.
“Jika penerima itu terbaca atau terdengar mengenai perkara ini, kami sangat berharap dapat berjumpa. Jika mereka tidak sudi berjumpa kami, tidak mengapa. Kami tidak memaksa, saya cuma mahu melihat sinar mata itu untuk ubat kerinduan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah di Taman Mekasar, Kampung Kasar di sini semalam.
Terdahulu, Timbalan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Nor Aziemah Ismail menyampaikan sumbangan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000 dan Faedah Orang Tanggungan, RM1,952 sebulan seumur hidup kepada waris Muhammad Amirul Jaris.
Mengulas lanjut, Shahrulanuar, keputusan keluarga untuk membenarkan proses pendermaan organ itu bukan sesuatu yang dibuat secara tergesa-gesa.
“Saya dan isteri sebenarnya sudah lama mendaftar sebagai pengikrar dan perkara itu turut dimaklumkan kepada semua anak-anak termasuk Allahyarham Muhammad Jaris Amirul.
“Pada hari kejadian, kami sebenarnya dalam keadaan terkejut dan terus terang, kami sendiri terlupa yang kami ini pengikrar derma organ kerana sudah lama membuat ikrar tersebut,” ujarnya.
Jelasnya, dia berharap tindakan itu bukan sahaja menjadi amal jariah buat Muhammad Jaris Amirul malah memberi sinar baharu kepada penerima. – KOSMO! ONLINE














