fbpx
Kelindan lori ais antara enam individu yang didapati positif dadah dalam Ops Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan di Kuala Ketil, Baling hari ini.

Hari pertama jadi kelindan, terus dicekup positif dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Seorang lelaki yang baru memulakan hari pertama sebagai kelindan lori ais merupakan antara enam individu yang ditahan selepas didapati positif dadah dalam Ops Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan di Kuala Ketil, di sini hari ini.

Lelaki berusia 33 tahun itu yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat pembekal aiskrim ditahan selepas ujian air kencingnya didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Turut ditahan kerana penyalahgunaan dadah dalam operasi itu ialah seorang lagi kelindan lori ais berusia 33 tahun serta dua pemandu van kilang berusia 32 dan 40 tahun yang turut didapati positif dadah jenis sama.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, dua lagi pemandu ditahan dalam operasi sama yang dijalankan pihaknya di Plaza Tol Hutan Kampung, Alor Setar.

“Semua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 31 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, manakala seorang daripada mereka diserahkan kepada polis kerana memiliki dadah dan ditahan mengikut Seksyen 12(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita menjalankan operasi ini bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta PLUS Malaysia Berhad di tiga lokasi iaitu kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Stesen Penguat Kuasa (SPK) dan terminal bas,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Stien, objektif utama operasi itu adalah untuk memantau dan mengambil tindakan undang-undang mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap pemandu dan kelindan kenderaan perdagangan yang mengambil dadah.

Katanya, hasil soal siasat terhadap pemandu dan kelindan kenderaan perdagangan yang ditahan kerana positif dadah mendapati kebanyakan mereka mengambil bahan terlarang itu bagi mendapatkan tenaga untuk menghadapi tempoh pemanduan yang panjang.

“Kita tidak akan berkompromi dalam perkara ini kerana pengambilan dadah ketika memandu amat berbahaya bukan sahaja kepada diri sendiri, malah turut mengancam pengguna jalan raya lain.

“Penguatkuasaan undang-undang turut membabitkan penggantungan lesen vokasional seperti Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) di bawah Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tambahnya, JPJ juga akan mengambil tindakan terhadap syarikat pengangkutan yang didapati gagal memastikan pemandu dan kelindan mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Sepanjang operasi itu dijalankan, sebanyak 550 kenderaan perdagangan diperiksa dengan 83 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan jalan raya, manakala 45 individu diarahkan menjalani saringan air kencing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN