PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan ribut petir membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sarawak hingga pukul 4 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah Pahang yang melibatkan Bentong dan Rompin.
“Hujan lebat turut diramal berlaku di seluruh Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru),” lapor MetMalaysia.
Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Mukah), Kapit (Song dan Kapit) dan Bintulu (Tatau).
Bagi Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort, Nabawan dan Keningau), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau dan Sandakan (Telupid dan Beluran).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














