KUALA LUMPUR – Sebuah stesen baharu KTM Komuter di Segambut Utara dilancarkan hari ini menerusi kerjasama strategik sektor awam dan swasta dengan kos pembinaan sebanyak RM39 juta yang ditanggung sepenuhnya pihak pemaju.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek itu menjadi contoh model pembangunan berintegrasi pengangkutan awam yang perlu diperluaskan di kawasan pembangunan baharu berhampiran rangkaian rel negara.
Menurut beliau, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang peruntukan bagi pembinaan stesen berkenaan kerana ia dibina oleh pemaju sebagai sebahagian syarat pembangunan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
“Stesen ini dirunding dan dibincangkan sejak beberapa tahun lalu dan akhirnya berjaya direalisasikan hari ini. Pemaju membina stesen ini dan kemudian diserahkan kepada kerajaan.
“Pemilik aset stesen ini ialah Railway Assets Corporation (RAC) manakala operasinya dikendalikan oleh KTMB,” katanya pada sidang media selepas pelancaran stesen itu hari ini.
Anthony berkata, model pembangunan seumpama itu mampu membantu memperluaskan akses rakyat kepada pengangkutan awam tanpa membebankan kewangan kerajaan.
Katanya, mana-mana projek pembangunan baharu berhampiran landasan kereta api sewajarnya diintegrasikan dengan rangkaian komuter sedia ada.
Stesen KTM Segambut Utara yang dilancarkan hari ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 90,000 pengguna di sekitar Segambut, Kepong, Jinjang dan Mont Kiara.
Jumlah itu dijangka terus meningkat susulan pertambahan populasi melebihi 100,000 orang pada masa hadapan di kawasan sekitar.
“Ini jelas menunjukkan perancangan pembinaan stesen ini bukan bersifat reaktif, sebaliknya berdasarkan data serta mengambil kira keperluan dan corak penggunaan untuk jangka panjang,” tambah Anthony.
Beliau berkata, stesen itu mampu menampung sehingga 8,000 penumpang sejam bagi setiap hala ketika waktu puncak serta jumlah keseluruhan penumpang yang dijangka menggunakan stesen berkenaan mencecah hampir 580,000 orang setahun.- KOSMO! ONLINE














