KLANG – Keresahan pesawah dan pengusaha jentera menuai padi di Sekinchan, Sabak Bernam dekat sini, berhubung kuota diesel akhirnya mendapat perhatian apabila kaunter khas permit khas dibuka selama empat hari bermula 19 Mei ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kaunter itu akan dikendalikan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor di empat lokasi terpilih.
Katanya, langkah tersebut bagi memudahkan pesawah serta pemilik jentera menuai padi membuat permohonan permit khas diesel secara terus kepada pihak berkaitan.
“Memang setakat ini pesawah mohon 200 liter. Untuk mohon, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) boleh pertimbangkan sebab dibawah kuasa kementerian itu.
“IADA Barat Laut Selangor akan membuka kaunter di empat lokasi pada 19 hingga 21 Mei ini. Namun, ia bergantung kepada kepada pertimbangan KPDN dan mereka boleh membuat permohonan itu terutama di kawasan Sekinchan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meluncurkan tuaian nanas projek rintis pintar Parlimen Kota Raja di sini hari ini.
Menurut beliau, setiap permohonan akan dinilai secara manual mengikut kes bagi memastikan diesel subsidi benar-benar digunakan untuk tujuan pertanian dan mengelakkan ketirisan.
“Kita buat secara case by case supaya ia benar-benar diperlukan dan tidak berlaku penyalahgunaan subsidi.
“Ini berikutan KPDN telah berjaya mengesan beberapa kes ketirisan besar yang agak mengejutkan,” ujarnya.
Terdahulu, KPDN Selangor memaklumkan akan membuat satu sesi libat urus dan Hari Bertemu Pelanggan akan diadakan dalam masa terdekat bersama pesawah dan petani daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam dalam mendapat perkhidmatan secara langsung untuk permohonan permit khas bekalan diesel.
Kosmo! semalam melaporkan krisis bekalan diesel bagi jentera menuai padi kini dilihat mengancam keterjaminan makanan di Selangor apabila kira-kira 42,000 tan pengeluaran padi di empat kawasan utama sekitar Sabak Bernam berisiko terjejas sekiranya masalah itu berlarutan.
Ini susulan kuota diesel sebanyak 20 liter yang dibenarkan menjejaskan kerja menuai di lapangan berbanding keperluan sebenar operasi menuai mencecah 200 liter sehari. – KOSMO! ONLINE














