KLANG – Kegiatan penyeludupan dan pemindahan minyak diesel secara haram pada waktu senja di kawasan Perindustrian Meru Selatan tumpas apabila diserbu pihak berkuasa, semalam.
Serbuan kira-kira pukul 7 malam itu berjaya menahan seorang lelaki warga India yang merupakan pemandu lori berusia 34 tahun.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, serbuan dijalankan PPM Pelabuhan Klang hasil maklumat orang awam berhubung sebuah lori putih yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Semasa serbuan didapati berlaku pemindahan minyak diesel daripada tangki
Intermediate Bulk Container (IBC) yang berada di atas lori ke tangki IBC lain di kawasan perindustrian tersebut.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan sebuah lori bonded jenis Isuzu, dua tangki IBC, 2,000 liter minyak diesel, sebuah pam minyak dan dua hos,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM100,740.
Jaffri menambah, siasatan awal mendapati pemandu lori itu aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak dua tahun lalu dengan upah kira-kira RM500 bagi setiap pemindahan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan berkaitan ketirisan subsidi minyak diesel.-KOSMO! ONLINE.














