fbpx
PASUKAN bomba memberikan bantuan awal kepada mangsa yang ditemui lemah di dalam tandas di Taman Botanikal Ayer Keroh, Melaka, hari ini. Foto Ihsan JBPM.

Lewat minta bantuan, lelaki hilang dua hari ditemui lemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang lelaki ditemukan dalam keadaan lemah di sebuah tandas awam di Taman Botanikal Ayer Keroh di sini, hari ini selepas dipercayai telah hilang lebih dua hari di kawasan hutan berhampiran.

Mangsa berusia 34 tahun itu ditemui orang awam kira-kira pukul 3.30 petang sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya hanya menerima permohonan bantuan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pukul 12.18 tengah hari tadi untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Menurutnya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh digerakkan ke lokasi sebelum menjalankan pencarian bersama pasukan polis dan SWCorp di beberapa kawasan sekitar Ayer Keroh.

“Pasukan bomba melaksanakan pencarian di kawasan Ayer Keroh Country Club, kawasan resort serta Taman Botanikal berdasarkan maklumat yang diterima.

“Ketika operasi sedang dijalankan, mangsa akhirnya ditemui oleh orang awam di dalam sebuah tandas awam berhampiran kawasan Skytrex,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, hasil maklumat yang diperoleh mendapati mangsa dipercayai telah hilang lebih dua hari sebelum bantuan PDRM dan JBPM dipohon untuk melaksanakan operasi pencarian.

Katanya, kelewatan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa boleh menyebabkan radius pencarian menjadi lebih luas selain memerlukan penggunaan aset dan tenaga kerja yang lebih banyak.

“Orang awam atau sukarelawan yang terlibat dalam usaha mencari individu hilang disaran segera memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan 999 dan bukannya hanya menularkan maklumat di media sosial.

“Tindakan memaklumkan lebih awal membolehkan operasi mencari dan menyelamat diaktifkan segera, sekali gus meningkatkan peluang mangsa ditemukan dengan lebih cepat,” tegasnya.

Mohd. Hafidzatullah berkata, kekeliruan berhubung lokasi sebenar mangsa dilaporkan hilang turut dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyebabkan pihak bomba lewat menerima maklumat berhubung kejadian.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN