KUALA LUMPUR – Penubuhan Kelab Hoki Tunas Angsana membuka lembaran baharu dalam pembangunan hoki negara menerusi pengenalan Program Pembangunan Hoki Bawah 12 Tahun yang menawarkan latihan secara percuma kepada kanak-kanak di bawah kendalian jurulatih berpengalaman.
Inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat akar umbi dengan menyediakan peluang kepada pemain muda mempelajari asas permainan hoki tanpa sebarang yuran penyertaan.
Program itu diketuai Pengarah Teknikal Federasi Hoki Indonesia (FHI), Muhammad Dharma Raj Abdullah yang bukan asing dalam arena hoki tempatan selepas pernah membimbing skuad lelaki, wanita dan remaja lelaki kebangsaan.
Turut menganggotai barisan kejurulatihan ialah bekas pemain kebangsaan, Iman Gobinathan Abdullah dan Lam Mun Fatt serta bekas penjaga gol utama skuad wanita negara, Farah Ayuni Yahya.
Presiden Kelab Hoki Tunas Angsana, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, fokus utama kelab tersebut adalah menyediakan peluang kepada kanak-kanak bawah 12 tahun menerima latihan berkualiti daripada jurulatih berkaliber.
“Kelab hoki ini memberi fokus kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun. Kami mahu memberi peluang dan ruang kepada mereka ini menerima latihan daripada jurulatih berkualiti antaranya Dharma Raj. Semua tahu populariti Dharma Raj yang juga bekas pemain hoki negara.
“Setakat ini, jumlah pemain yang mendaftar sudah sekitar 100 lebih. Ia satu perkembangan yang baik dalam masa yang agak singkat. Mereka akan berlatih setiap hujung minggu.
“Matlamat akhirnya ialah selepas mereka berlatih serta mencapai tahap yang diharapkan, kami akan membentuk sebuah pasukan untuk bertanding di peringkat kebangsaan,” katanya pada majlis pelancaran program pembangunan itu hari ini.
Sementara itu, Dharma Raj menyifatkan program berkenaan sebagai platform alternatif kepada pemain muda yang mungkin tidak berpeluang menyertai program pembangunan lain.
“Program pembangunan ini adalah sebagai alternatif kepada pemain yang mungkin tidak dapat menyertai mana-mana program pembangunan lain.
“Menariknya adalah kelab ini dapat membawa barisan jurulatih yang bagus dan antara yang terbaik di dalam negara supaya barisan pemain ini mendapat peluang yang sama rata seperti mana pemain dari program pembangunan lain,” katanya.
Program pembangunan Kelab Hoki Tunas Angsana itu dijalankan secara percuma setiap Sabtu dan Ahad di Stadium Hoki Tun Razak dengan matlamat melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mampu menyumbang kepada masa depan hoki negara. KOSMO! ONLINE













