fbpx
Mohd. Zaini melihat antara PATI yang ditahan dalam serbuan di perkampungan nelayan Bagan Nakhoda Omar dan Kuala Selangor. Foto oleh AFIQA RAZALI/KOSMO!

Perkampungan nelayan Bagan Nakhoda digempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SABAK BERNAM – Kawasan sekitar Bagan Nakhoda termasuk perkampungan nelayan yang dikenal pasti sebagai antara lokasi penyeludupan migran digempur habis-habisan pihak berkuasa menerusi operasi bersepadu bermula semalam.

Dalam operasi besar-besaran yang dijalankan sekitar petang semalam sehingga pukul 4 pagi tadi termasuk di Kuala Selangor itu berjaya menahan 79 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara 18 hingga 60 tahun ditahan.

Serbuan turut membawa kepada penahanan tujuh tekong warga tempatan serta 28 PATI lain yang dipercayai baharu tiba di perairan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd. Zaini Abu Hassan berkata, operasi bersepadu itu diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama pelbagai agensi bagi memperkukuh kawalan keselamatan dan kedaulatan perairan negeri ini.

Menurutnya, seramai 125 individu telah diperiksa di kawasan operasi melibatkan pesisir pantai, jeti dan kawasan sekitar.

“Hasilnya, kita menahan 79 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 10 wanita. Ini merangkumi warga Indonesia, Thailand, Myanmar, Bangladesh, India dan Pakistan.

“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran, menggaji dan melindungi warga asing, tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi tempoh dan penyalahgunaan pas lawatan ,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan di sini, awal pagi tadi.

Beliau berkata, siasatan turut membabitkan 35 individu termasuk tujuh tekong tempatan yang ditangkap polis mengikut Akta Antipenyeludupan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Dalam operasi sama, dua kes turut dikesan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan minyak diesel oleh KPDN Selangor.

Mohd. Zaini berkata, operasi itu turut bertujuan mengesan modus operandi sindiket yang mengeksploitasi PATI sebagai nelayan di perairan negeri ini.

“Mereka mempunyai sistem yang tersusun dengan beberapa lapisan keselamatan. Bukan sahaja premis, malah laluan dan modus operandi perlu dikaji semula bagi memastikan operasi lebih berkesan,” katanya.

Beliau menegaskan operasi bersepadu akan diteruskan dari semasa ke semasa, selain mengingatkan orang awam dan majikan supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti melindungi PATI serta jenayah rentas sempadan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN