SUNGAI PETANI – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kematian seorang lelaki warga emas di sebuah pusat jagaan di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang menimpa lelaki berusia 64 tahun itu dari pihak pengurusan pusat berkenan.
“Sejurus selepas itu, keluarga mangsa membuat laporan berkaitan kejadian itu dan mendakwa mangsa meninggal dunia akibat pergaduhan dengan rakan di pusat itu.
“Siasatan awal mendapati terdapat lebam pada badan mangsa namun kesan itu tidak menyebabkan kematian atau akibat pergaduhan seperti mana didakwa keluarganya,” katanya di sini hari ini.
Kata Hanyan, pihaknya telah merakam keterangan beberapa individu di pusat itu untuk membantu melengkapkan siasatan.
“Buat masa ini, kita membuka kertas siasatan di bawah kematian mengejut. Mayat mangsa dihantar untuk proses bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim,” katanya. – KOSMO! ONLINE














