fbpx
SEBUAH sekolah untuk pelajar Rohingya di Tongkang Yard, Alor Setar.

PBT diarah gempur sekolah Rohingya tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Kerajaan negeri mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini mengambil tindakan tegas terhadap sekolah Rohingya yang didapati beroperasi secara haram.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, setiap operasi sekolah di negeri ini perlu mematuhi prosedur ditetapkan termasuk mendapat kelulusan penggunaan premis daripada PBT seterusnya Jabatan Pendidikan negeri serta polis.

“Walaupun premis tersebut melibatkan kawasan perumahan sekalipun pihak terlibat perlu mendapatkan kebenaran daripada PBT di kawasan berkenaan. Apatah lagi jika premis tersebut hendak dijadikan sekolah. Operasi sekolah tanpa kebenaran PBT, JPN dan polis adalah satu kesalahan.

“Jika ada dakwaan sekolah Rohingya tanpa lesen ini beroperasi jadi kita mengarahkan PBT di seluruh negeri ini untuk menyiasat dan membanteras,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kebangsaan PBT Malaysia 2026 di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang laporan akhbar ini semalam yang mendedahkan dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Aman Kebajikan Ummah (Paku) tentang kewujudan kira-kira 70 sekolah Rohingya yang beroperasi tanpa lesen di seluruh Kedah termasuk sembilan di daerah ini.

Mengulas lanjut kata Mansor, kerajaan negeri memandang serius kewujudan sekolah tanpa lesen tersebut yang dikhuatiri menimbulkan pelbagai implikasi yang tidak diingini.

“Kita khuatir tempat ini akan dijadikan tempat yang tidak sepatutnya. Jadi kita serah kepada PBT untuk ambil tindakan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain kata beliau, kerajaan negeri menyarankan agar pihak terlibat seperti Jabatan Imigresen Malaysia mengambil tindakan pantas membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

“Kita menerima banyak aduan orang ramai bahawa ada Rohingya yang meminta sedekah di pasar malam dan mereka ini PATI. PBT tidak mempunyai kuasa untuk menahan mereka walaupun banyak aduan daripada orang ramai.

“Jadi kita berharap imigresen mengambil tindakan membanteras perkara ini. Kerajaan negeri tidak menghalang warga asing yang masuk secara laluan sah untuk bekerja di sini tetapi bukan secara haram,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN