fbpx
Gambar hiasan

Tidak boleh salahkan Malaysia krisis Rohingya, tanggung 215,600 pelarian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia tidak boleh dipersalahkan atas jenayah dan penganiayaan yang berlaku di Myanmar, namun negara juga tidak boleh mengabaikan cabaran sebenar yang dihadapi rakyatnya sendiri.

Krisis pelarian Rohingya berpunca daripada tindakan dan dasar Myanmar sendiri akibat penganiayaan sistematik terhadap komuniti Rohingya.

Ia termasuk penafian kewarganegaraan, diskriminasi berstruktur, pemindahan paksa dan keganasan berskala besar.

Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), Azril Mohd. Amin berkata, tindakan itu telah didokumenkan secara meluas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta pelbagai mekanisme hak asasi manusia antarabangsa.

Oleh itu tegas beliau, adalah tidak tepat untuk mengalihkan tanggungjawab utama daripada negara punca krisis kepada negara-negara penerima seperti Malaysia.

“Malaysia telah menanggung sebahagian besar beban kemanusiaan serantau selama beberapa dekad. Menurut data UNHCR sehingga Februari 2026, Malaysia menempatkan kira-kira 215,600 pelarian dan pencari suaka berdaftar, termasuk 193,824 dari Myanmar.

“Sekitar 126,144 daripadanya, merupakan etnik Rohingya. Ini menjadikan Malaysia antara negara yang menempatkan komuniti Rohingya terbesar di dunia di luar Bangladesh,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, walaupun Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mempunyai undang-undang pelarian khusus, majoriti Rohingya tidak ditempatkan di pusat tahanan imigresen.

“Sebaliknya, mereka hidup dalam komuniti, bekerja secara tidak formal dan menerima akses tertentu kepada bantuan kemanusiaan serta perkhidmatan asas.

“Hakikat ini menunjukkan bahawa Malaysia telah melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan yang jauh melangkaui kewajipan undang-undang antarabangsa yang terpakai ke atasnya,” ujarnya.

Bagaimanapun jelas beliau, pada masa sama, Centhra mengiktiraf kebimbangan rakyat Malaysia mengenai tekanan terhadap perkhidmatan awam, persaingan dalam sektor pekerjaan berpendapatan rendah, penempatan tidak terancang, isu keselamatan dan cabaran integrasi sosial.

Kerajaan menurut beliau, mempunyai hak dan tanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang imigresen, menjaga ketenteraman awam dan melindungi kepentingan nasional.

“Namun demikian, penguatkuasaan tersebut hendaklah dilaksanakan selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan standard kemanusiaan antarabangsa.

“Ia termasuk larangan terhadap layanan tidak berperikemanusiaan, penahanan sewenang-wenangnya dan pemulangan ke tempat yang berisiko tinggi terhadap nyawa atau keselamatan individu.

“Pendekatan yang matang memerlukan keseimbangan antara hak Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat untuk mengurus sempadan dan menjaga keselamatan negara, dengan tanggungjawab kemanusiaan,” jelasnya.

Azril berkata, walaupun Malaysia bukan pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951, beberapa prinsip undang-undang antarabangsa tetap relevan.

Antaranya ialah prinsip non-refoulement yang melarang penghantaran seseorang ke negara atau wilayah yang mana mereka berdepan risiko penganiayaan, penyeksaan atau ancaman serius terhadap nyawa dan kebebasan.

“Malaysia juga terikat dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang mewajibkan kepentingan terbaik kanak-kanak diberikan keutamaan dalam semua keputusan yang melibatkan mereka.

“Pada masa sama, undang-undang antarabangsa tidak mewajibkan Malaysia untuk memberikan kewarganegaraan, hak mengundi, status pemastautin tetap atau membuka sempadan tanpa kawalan kepada pelarian.

“Soal kawalan sempadan, imigresen dan kewarganegaraan kekal dalam bidang kuasa kedaulatan negara,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN