IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menegaskan bahawa ‘Kad Perakuan Nikah’ yang dikeluarkan atas nama Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya Malaysia bukan dokumen yang diiktiraf jabatan itu.
Pengarahnya, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, ketika ini pernikahan komuniti etnik Rohingya tidak boleh didaftarkan kerana melibatkan isu dasar yang sedang diperhalusi oleh pihak berkuasa agama negeri.
“Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Majlis Raja-Raja telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan dengan kadar segera.
“Jadi, Jakim telah memanggil jabatan-jabatan agama di seluruh negera untuk berbincang bagaimana kita hendak selesaikan masalah ini.
“Sebab ini bukan masalah yang mudah, kerana ia melibatkan nasab keturunan dan aspek lain yang perlu diteliti dengan perbincangan demi perbincangan telah diadakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, cadangan ketika ini adalah membenarkan perkahwinan sesama etnik Rohingya sahaja dan tidak melibatkan rakyat tempatan.
Bagaimanapun katanya, kebenaran itu tertakluk kepada syarat bahawa pasangan terbabit perlu memiliki Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) untuk perkahwinan dilangsungkan dan didaftarkan.
“Mereka perlu ada (DPP) baru perkahwinan itu boleh didaftarkan dan ia mesti diuruskan oleh pendaftar atau penolong pendaftar mahupun pihak berautoriti yang telah diwakilkan oleh pemerintah agama.
“Urusan pernikahan tidak boleh diuruskan sesama mereka dan kad perakuan nikah yang dikeluarkan mereka juga tidak sah di sisi undang-undang,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai ‘Kad Perakuan Nikah’ yang dikeluarkan Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya Malaysia sehingga mencetuskan pelbagai pertikaian dan persoalan dalam kalangan masyarakat berhubung status dan kesahihan dokumen berkenaan. – KOSMO! ONLINE














