KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim layak diberikan peluang memimpin negara untuk penggal kedua selepas berjaya menyelesaikan isu penempatan penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara yang berlarutan sejak 44 tahun lalu.
Hannah yang terlibat memperjuangkan isu berkenaan sejak pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini berkata, penyelesaian akhirnya dicapai apabila Perdana Menteri mengambil pendirian tegas supaya keputusan mahkamah dihormati dan hak semua pihak dipelihara.
“Doa saya pemimpin seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dikembalikan semula ke Putrajaya selepas ini. Dengan sepenuh hati saya katakan, kamu layak dapat penggal yang kedua.
“Saya telah memperjuangkan isu ini begitu lama dan di bawah tangan beliau, beliau tidak campur tangan dengan keputusan mahkamah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Perubahan Kekal Bagi Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara di Taman Rimba Kiara di sini hari ini.
Beliau berkata, isu tersebut merupakan antara kes paling sukar diselesaikan sepanjang 18 tahun penglibatannya dalam politik kerana membabitkan tuntutan komuniti Rumah Panjang Bukit Kiara dan kumpulan yang memperjuangkan pemeliharaan kawasan hijau Taman Rimba Kiara.
Menurutnya, selepas melalui beberapa pentadbiran kerajaan, menteri dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, penyelesaian akhirnya berjaya dicapai di bawah pentadbiran Anwar.
“Isu ini telah diselesaikan bukan oleh Perdana Menteri Barisan Nasional atau Perdana Menteri Perikatan Nasional, tetapi di tangan Perdana Menteri Pakatan Harapan ia telah diselesaikan,” katanya.
Tambahnya, setiap keluarga yang layak akan menerima dua unit rumah secara percuma dan rumah baharu itu akan disiapkan terlebih dahulu sebelum pembangunan dibuat di tapak asal rumah panjang berkenaan.
Dalam majlis sama, Hannah turut mengumumkan geran khas RM100,000 kepada Persatuan Penganut Devi Sri Maha Mariamman Bukit Kiara yang bakal menerima tapak kuil selepas Kebenaran Merancang diberikan.
Untuk rekod, penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara menunggu selama 44 tahun untuk mendapatkan penempatan kekal selepas dipindahkan pada 1982 dengan jangkaan kediaman tersebut hanyalah penempatan sementara. – KOSMO! ONLINE














