KUALA LUMPUR – Penantian selama 44 tahun penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara untuk mendapatkan kediaman tetap akhirnya menemui noktah apabila pembangunan rumah ganti yang dijanjikan mula dilaksanakan hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, penyelesaian isu yang berlarutan sejak 1982 itu berjaya direalisasikan hasil komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan kebajikan penduduk terus terbela.
“Penantian selama 44 tahun penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara untuk mendapatkan perumahan yang dijanjikan akhirnya memasuki fasa penyelesaian dengan pelaksanaan pembangunan rumah ganti yang dimulakan hari ini.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen beliau dalam memastikan isu yang telah berlarutan merentasi beberapa pentadbiran ini dapat diselesaikan secara tuntas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal Bagi Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara Di Taman Rimba Kiara, Kuala Lumpur hari ini.
Hannah berkata, penyelesaian yang dicapai bukan berlaku dalam tempoh singkat dan sejak 2018, dia bersama penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara, Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail, Friends of Bukit Kiara (FOBK) dan pihak berkepentingan lain telah berusaha mencari jalan penyelesaian yang dapat diterima semua pihak.
Menurut beliau, antara prinsip utama yang dipersetujui ialah penduduk menerima rumah ganti yang telah lama dijanjikan, pembangunan dihadkan kepada kawasan seluas 5.76 ekar dan baki tanah diserahkan semula kepada kerajaan untuk diwartakan sebagai kawasan lapang awam.
“Rumah ganti akan dibangunkan dan disiapkan terlebih dahulu bagi membolehkan penduduk berpindah terus ke kediaman baharu tanpa perlu melalui penempatan sementara.
“Tapak kuil sedia ada juga dikekalkan dan dizonkan secara rasmi sebagai Tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), selain jumlah lot tempat letak kereta di Taman Rimba Kiara ditambah daripada 80 kepada 150 lot,” katanya.
Beliau turut memaklumkan audit bersama melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), FOBK dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) akan dilaksanakan bagi memastikan pengurusan, pemeliharaan serta perlindungan pokok di kawasan pembangunan terus terjamin.
Katanya, penyelesaian yang dicapai membuktikan pembangunan bandar tidak semestinya dilakukan dengan mengorbankan kepentingan komuniti atau alam sekitar, sebaliknya keseimbangan antara pembangunan, pemuliharaan dan keadilan sosial boleh dicapai.
Terdahulu, penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara dipindahkan pada 1982 dengan harapan penempatan itu hanya bersifat sementara sebelum menerima rumah kekal, namun penantian tersebut berlarutan lebih empat dekad sebelum penyelesaiannya direalisasikan hari ini. – KOSMO! ONLINE














