fbpx
TANGKAP layar video fenomena awan yang dirakamkan dari Changlun pada pagi tadi. - Foto FB NASIHA ABDUL RASHID

[VIDEO] ‘Seram tengok awan tebal bergulung macam ombak besar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CHANGLUN – Penduduk Changlun dan kawasan sekitar gempar apabila melihat awan tebal bergulung-gulung yang panjang seperti ombak besar pada pagi tadi.

Menurut kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nasiha Abdul Rashid, dia menyedari awan bergulung tersebut kira-kira pukul 8.24 pagi tadi ketika keluar bersarapan pagi bersama suami dan tiga anak.

“Sebaik sahaja keluar dari kedai makan itu untuk menghantar anak ke kelas tuisyen, kami nampak awan rendah seperti dinding yang mana awan itu tebal bergulung-gulung seperti ombak besar.

“Itu kali pertama kami nampak keadaan awan seperti itu, memang menakutkan sebab ingat nak jadi puting beliung. Kami sempat merakamkan video fenomena awan itu yang berlaku dalam masa kira-kira 10 minit,” katanya di sini hari ini.

Katanya, awan tersebut menakutkan kerana ia kelihatan bergerak laju, namun keadaan di sekitar pada waktu itu tidak berangin mahupun hujan.

“Awan itu saya lihat datang dari arah Bukit Kayu Hitam, mungkin ada kawasan lain hujan. Bimbang juga jika ia petanda nak ribut, namun di tempat saya ini hanya hujan rintik sedikit sebelum cuaca kembali panas,” ujarnya.

Jelasnya, anaknya kemudian membuat carian di internet berhubung kejadian yang mana ia menyerupai fenomena awan ‘shelf cloud’ atau ‘arcus cloud’.

“Ia juga menyatakan bahawa fenomena itu biasanya muncul sebelum ribut petir dan kebiasaannya datang bersama angin kuat, hujan lebat dan kadangkala kilat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN