KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand selepas melangkah ke separuh akhir.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Nimibutr, Bangkok sebentar tadi, bekas pasangan No.1 dunia itu menang 19-21, 21-15, 21-8 ke atas beregu Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley.
Pasangan yang terkenal dengan gelaran DinFei itu tersentak seketika apabila tewas di set pertama sebelum kembali memperkemaskan permainan dan memenangi set kedua, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Memasuki set ketiga, aksi gandingan No.9 dunia itu sukar digugat apabila menampilkan aksi cukup cemerlang bagi mendominasi sepenuhnya permainan sebelum mencatat kemenangan selesa 21-8.
Izzuddin tanpa berselindung mengakui, mereka gagal memulakan permainan dengan baik, namun tetap gembira kerana masih mampu melakukan kebangkitan dan memastikan kemaraan ke separuh akhir.
“Saya rasa kami agak bergelut pada set pertama tetapi kami gembira kerana dapat melakukan kebangkitan di set kedua dan ketiga. Selain itu, pemain lawan juga bermain sangat baik hari ini.
“Secara keseluruhan, corak permainan mereka memang tidak sesuai dengan kami, jadi kami cuba untuk mengubah (corak permainan),” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, Sze Fei pula menyifatkan pemain lawan memanfaatkan sepenuhnya pergerakan angin apabila servis yang dilakukan berjaya memerangkap dia dan Izzuddin pada perlawanan tersebut.
“Dari segi keadaan angin, pihak lawan melakukan servis yang lebih baik dan ia mendatangkan banyak masalah kepada kami untuk menerimanya. Kami terpaksa bermain secara bertahan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














