fbpx
Kekurangan wang selepas raya antaranya disebabkan kegagalan mengawal perbelanjaan. - GAMBAR HIASAN

‘Pokai lepas raya’ masalah kamu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

FENOMENA ‘pokai selepas raya’ sering dianggap sesuatu yang normal, sedangkan hakikatnya ia mencerminkan kelemahan dalam pengurusan kewangan dan tingkah laku perbelanjaan pengguna.

Setiap kali menjelang Syawal, perbelanjaan isi rumah meningkat dengan ketara kerana masyarakat mahu menyambut perayaan dalam suasana meriah.

Namun, apabila perayaan berakhir, ramai yang berdepan tekanan kewangan akibat perbelanjaan berlebihan.

Oleh itu, fenomena ini tidak sepatutnya dinormalisasikan, sebaliknya perlu dianalisis sebagai isu pengurusan kewangan isi rumah dan tingkah laku ekonomi pengguna.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan, perbelanjaan isi rumah di Malaysia menunjukkan peningkatan berterusan, terutamanya dalam kategori makanan dan minuman serta makan di luar.

Corak perbelanjaan ini merangkumi semua kumpulan pendapatan termasuk B40, M40 dan T20. Ini menunjukkan bahawa isu sebenar bukan semata-mata jumlah pendapatan, tetapi sikap dan tabiat perbelanjaan.

Dalam masa sama, laporan daripada Bank Negara menunjukkan tahap hutang isi rumah di Malaysia kekal tinggi, iaitu melebihi 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit pula melaporkan bahawa antara punca utama individu menghadapi masalah hutang ialah kegagalan mengawal perbelanjaan dan kebergantungan kepada kemudahan kredit seperti kad kredit dan Buy Now Pay Later (BNPL).

Dari sudut ekonomi tingkah laku, fenomena ‘pokai selepas raya’ banyak dipengaruhi oleh faktor psikologi pengguna.

Menurut pensyarah di Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Kajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Dr. Amirah Shazana Magli, dalam era media sosial, pengguna sering terdedah kepada gaya hidup mewah, fesyen raya terkini, dekorasi rumah dan jamuan yang kelihatan sempurna di platform digital.

“Situasi ini mendorong kepada fenomena Fear of Missing Out (FOMO) dan gaya hidup You Only Live Once (YOLO), di mana individu berbelanja untuk kepuasan segera tanpa memikirkan kesan kewangan jangka panjang.

“Setiap pembelian memberikan kepuasan sementara, tetapi akhirnya boleh menyebabkan tekanan kewangan selepas perayaan,” katanya.

Katanya, tanda awal masalah kewangan biasanya berlaku apabila seseorang mula menggunakan kredit untuk menampung perbelanjaan asas seperti makanan dan bil utiliti.

“Perancangan bajet merupakan langkah paling penting, di mana perbelanjaan perlu diutamakan kepada keperluan asas seperti bil, pendidikan, makanan dan simpanan,” ujarnya.

Jelasnya, perbelanjaan tidak penting seperti makan di luar, membeli pakaian berlebihan perlu dikawal, terutamanya selepas musim perayaan bagi memulihkan kedudukan kewangan.

Selain itu, perbelanjaan bermusim seperti Hari Raya, musim persekolahan dan majlis perkahwinan sebenarnya boleh dirancang lebih awal melalui simpanan bulanan.

Dengan cara ini, beban kewangan tidak akan dirasai secara mendadak apabila tiba musim tersebut. Dana kecemasan juga sangat penting bagi mengelakkan individu terpaksa berhutang apabila berdepan situasi tidak dijangka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN