KUALA TERENGGANU – Sikap tamak seorang peniaga lelaki berusia 36 tahun masih menjual bunga api biarpun permit telah berakhir kelmarin memakan diri apabila diberkas di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge) di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, sewaktu ditahan, suspek sedang sibuk menjual barangan tersebut kepada pelanggan biarpun sudah awal pagi.
“Pemeriksaan mendapati tempoh sah lesen menjual bunga api dimiliki suspek telah tamat pada hari raya keenam. Begitupun suspek masih terus menjual bunga api secara haram,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, antara bunga api yang dirampas ialah jenis ‘happy boom banana rain’, ‘roman candle’, ‘moon rocket’ serta celebration cake repeater’ dan peniaga itu mengaku terus menjual bunga api walaupun permit sudah tamat ekoran permintaan masih tinggi. – KOSMO! ONLINE














