fbpx
Abdul Razak (kiri) bertemu pengundi bagi memahami keperluan sebenar masyarakat di kawasan DUN Benut.

PRN Johor: Abdul Razak fokus kemudahan asas, kerja, rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Kemudahan asas lebih baik, peluang pekerjaan kepada anak muda dan rumah mampu milik menjadi antara fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Benut, Abdul Razak Ismail, jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Calon yang pertama kali bertanding itu berkata, keutamaan akan diberikan kepada penyelesaian isu yang dekat dengan kehidupan harian penduduk terutama di kawasan luar bandar.

Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah masalah capaian komunikasi yang masih membelenggu sebahagian kawasan dan menjejaskan urusan masyarakat.

“Perkara pertama tentunya berkaitan kemudahan asas yang lebih lengkap dan sempurna termasuk talian komunikasi yang lebih baik khususnya di kawasan luar bandar.

“Pada hari ini internet dan komunikasi bukan lagi satu kemudahan tambahan tetapi sudah menjadi keperluan rakyat untuk urusan harian, pendidikan dan ekonomi,” katanya.

Menurutnya, beliau juga mahu melihat lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan khususnya untuk golongan muda supaya mereka tidak perlu berhijrah keluar dari Benut untuk mencari rezeki.

Katanya, kewujudan sektor industri yang lebih berteknologi tinggi mampu membuka lebih banyak ruang pekerjaan kepada anak muda tempatan.

“Ramai golongan muda kini terpaksa berhijrah ke Johor Bahru, Batu Pahat, malah ke Singa­pura untuk mencari pekerjaan.

“Jadi kita mahu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang mampu menarik mereka terus kekal dan membina masa depan di Benut,” katanya.

Beliau turut menyifatkan isu pemilikan rumah dalam kala­ngan golongan muda sebagai antara perkara yang perlu diberikan perhatian serius.

Katanya, pembinaan lebih banyak rumah mampu milik mengikut kemampuan rakyat mampu membantu anak muda memiliki kediaman sendiri selain mengurangkan penghijrahan keluar.

Dalam masa sama, Abdul Razak berkata, beliau akan terus mendekati rakyat bagi memahami keperluan sebenar masyarakat dan memastikan setiap isu yang dibangkitkan diberikan perhatian sewajarnya.

“Yang penting bukan sekadar menjadi wakil rakyat tetapi memastikan suara dan keperluan penduduk dapat diterjemahkan kepada tindakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN