KUALA TERENGGANU – Seorang penganggur yang pernah dua kali dijatuhi hukuman atas kesalahan berkaitan dadah pada tahun lalu sekali lagi diberkas selepas disyaki mengedar pelbagai jenis dadah dalam satu serbuan di Kampung Banggol Donas, Manir, di sini semalam.
Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada pukul 6.45 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, beg silang bercorak daun berwarna-warni yang dipakai suspek kemudiannnya telah diperiksa.
“Hasil pemeriksaan telah menemukan empat botol plastik lutsinar bertutup kuning dibalut pita pelekat hitam mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin.
“Enam tiub straw hijau yang setiap satunya mengandungi pil disyaki dadah jenis yaba turut dirampas,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, pemeriksaan lanjut turut menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk serta ketulan kristal yang dipercayai dadah jenis syabu bernilai keseluruhan RM2,802.
Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta telah menjalani hukuman ke atas kedua-dua kes tersebut pada tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














