fbpx
Anggota polis membawa Muhammad Nurul Faqih (dua dari kanan), Asaraf Miya (tengah) dan Ahmad Boshu untuk didakwa atas pertuduhan menyediakan pengangkutan kepada enam PATI di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.

Tertuduh kes ATIPSOM berbaju Melayu ke mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang tekong darat dan dua lelaki etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyediakan pengangkutan kepada enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang diseludup di Kuala Krai bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Nurul Faqih Ab. Talib, 38, Ahmad Boshu Rahman, 38, dan Asaraf Miya Abu Boshar, 48, bagaimanapun mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa bersama-sama menyediakan pengangkutan kepada enam PATI warga Myanmar termasuk seorang wanita yang diseludup menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.

Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan Kampung Manik Urai Baru, Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Kuala Krai pada pukul 2.55 pagi, 6 Februari lalu.

Oleh itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) yang merupakan kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin, manakala Muhammad Nurul Faqih diwakili peguam, Mohd Zul Azhan Abu Bakar. Tiada peguam mewakili dua tertuduh etnik Rohingya.

Mahkamah tidak membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI