fbpx
Ramanan ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

Sasar gaji RM3,000 menjelang 2030 – Ramanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited memperkukuh kedudukan pekerja dengan menyasarkan peningkatan gaji bulanan kepada RM3,000 menjelang 2030 menerusi pembaharuan menyeluruh pasaran buruh negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, usaha itu akan dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia ke-13 yang memberi penekanan kepada ekosistem pekerjaan lebih dinamik, mampan dan berdaya saing.

Menurut beliau, kerajaan mahu membentuk kontrak baharu antara majikan dan pekerja untuk memastikan keuntungan dirasai oleh kedua-dua belah pihak.

“Dalam kontrak ini, kita menolak model lama yang membiarkan keuntungan terkumpul atau berlegar di satu pihak sementara risiko dipindahkan kepada pihak yang paling lemah,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Sambutan Hari Pekerja 2026 di sini hari ini.

Sambutan berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambah beliau, selain sasaran gaji, kerajaan juga menetapkan pampasan pekerja mencapai 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai langkah memperkukuh kesejahteraan tenaga kerja.

Dalam masa sama, Ramanan berkata, Malaysia berhasrat beralih daripada sekadar pengguna teknologi kepada peneraju, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

“Kita mahu label ‘Made by Malaysia’ terpapar pada litar bersepadu dan perisian AI di seluruh dunia, bukan lagi sebagai pengguna tetapi pencipta teknologi.

“Oleh itu Kementerian Sumber Manusia akan tubuhkan Akademi Semikonduktor Kesuma untuk melatih bakat dalam reka bentuk cip dan pembuatan AI,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan akan terus memantau kesan geopolitik terhadap pasaran buruh dan bersedia melaksanakan intervensi bagi memastikan kebajikan pekerja serta kelangsungan industri sentiasa terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN