PETALING JAYA – Seorang pengguna Facebook menggesa rakyat Malaysia supaya menghentikan sikap prejudis dan kebencian terhadap komuniti Rohingya dengan mendakwa etnik itu sering berdepan pelbagai kesukaran untuk meneruskan hidup di negara ini.
Menerusi satu hantaran yang tular di media sosial, individu berkenaan mendakwa masyarakat Rohingya berdepan pelbagai kekangan termasuk pekerjaan, perniagaan, pendidikan dan tempat tinggal.
Menurutnya, tindakan segelintir pihak yang gemar merakam dan menularkan video etnik Rohingya hanya akan menambahkan kesukaran yang dihadapi oleh komuniti tersebut.
“Berniaga tak boleh, kerja tak boleh, minta sedekah tak boleh, buat sekolah tak boleh, buat rumah tak boleh. Suka sangat rakam dan viralkan (tularkan), menyulitkan lagi kehidupan mereka,” katanya.
Individu itu turut berpandangan keadaan tersebut menyebabkan sebahagian komuniti Rohingya terpaksa memilih jalan salah untuk meneruskan hidup sehingga dipandang serong oleh rakyat Malaysia.
Dalam masa sama, pengguna itu mempersoalkan persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan etnik Rohingya dan mengingatkan orang ramai agar tidak menilai komuniti itu secara keseluruhan hanya disebabkan tindakan segelintir individu.
“Bukan semua yang tidak elok perangai, ramai lagi yang baik dan elok perangainya. Stop (henti) jadi racist (rasis). Jangan tunjuk sangat kebencian itu. Malu.
“Letak diri kita di tempat mereka, keluarlah mengembara anda akan lebih faham. Kita bertuah kerana Allah tetapkan kita dilahirkan dan menjadi rakyat Malaysia,” ujarnya.
Hantaran itu menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial dengan ada yang bersetuju pelarian wajar diberikan layanan berperikemanusiaan, manakala sebahagian lain berpendapat isu keselamatan dan pematuhan undang-undang juga perlu diberikan perhatian.
“Status pelarian, memang tidak boleh bekerja dan berniaga. Mana boleh biar mereka minta sedekah. Nanti kita nampak lemah senang-senang biarkan lagi ramai datang Malaysia.
“Buat rumah pun tak boleh sepatutnya mereka ditempatkan di satu tempat terkawal. Kita tak nak mereka selesa lama-lama di sini. Mereka guna kemudahan (macam apa yang berlaku di hospital), sedangkan yang bayar cukai rakyat Malaysia,” kata Mazlina.
Seorang pengguna, Tasnim mendakwa, pandangannya terhadap etnik tersebut berubah selepas enam tahun bekerja di sebuah pusat bersalin yang sering menerima pesakit komuniti Rohingya.
“Maaf sis, dulu mungkin saya pun sependapat. Tapi selepas enam tahun bekerja di pusat bersalin yang jadi tumpuan Rohingya. Apa yang saya boleh rumuskan, kebanyakannya suka meminta atau berhutang walaupun mempunyai wang, kurang beradab dan tidak menjaga kebersihan,” dakwanya.
“Kadang lebih baik diam daripada membuat hantaran yang akhirnya orang tahu tahap pemikiran kita level (tahap) mana,” perli Sue Riyani. – KOSMO! ONLINE














