fbpx
Aepul menegaskan lagu dihasilkan janaan kecerdasan buatan (AI) tidak wajar dicalonkan dalam mana-mana pertandingan. - AMIR KHALID

‘Kalau sedar diri buat lagu AI, kenapa hantar bertanding?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Buatan mesin dengan bantuan teknologi, komposer Aepul Roza menegaskan lagu dihasilkan janaan kecerdasan buatan (AI) tidak wajar dicalonkan dalam mana-mana pertandingan.

Aepul atau nama sebenarnya Noor Syaiful Mohd. Zalaludin, 37, karya daripada teknologi AI seharusnya hanya diperdengarkan sekadar untuk pilihan hiburan, bukannya digunakan demi meraih pengiktirafan.

“Kalau orang itu tahu dia buat lagu menggunakan mesin ‘prompt’ (arahan), janganlah hantar bertanding. Kenapa mereka buat begitu?

“Cukuplah kalau nak ia dinikmati manusia lain. Jangan hantar bertanding untuk dihargai sebagai komposer sebab bukan anda yang cipta.

“Kepada semua ‘prompter’, sila sedar diri. Awak buat guna komputer, kenapa pula pergi hantar bertanding? Janganlah,” katanya selepas sidang media Trilogi dan pelancaran single baharu bersama Fiq Halim dan Aweera berjudul Gila di Astana Putra, semalam.

Vokalis Drama Band itu berkata, AI sememangnya mampu menghasilkan lagu yang mudah menarik perhatian pendengar kerana teknologi tersebut direka untuk memahami cita rasa manusia yang diperoleh menerusi algoritma.

“Pada saya cukuplah sekadar lagu itu seronok didengar sebab algoritma sangat bijak. Ia tahu apa yang manusia suka dan mahu ‘pancing’ mereka.

“Tetapi apabila benda cepat ‘melekat’, kebiasaannnya tidak dapat bertahan lama. Manusia ini mempunyai sifat cepat bosan terutama terhadap sesuatu yang ‘segera’,” ujarnya.

Pada masa sama, Aepul turut berpendapat, penganjur serta juri pertandingan muzik wajib memiliki pengetahuan dan kemahiran khusus bagi mengenal pasti karya yang dihasilkan dengan teknologi AI.

“Sebagai komposer yang sudah mengkaji perisian AI, kita boleh faham vocabulary (kosa kata) yang dihasilkan. Dengar sekali pun sudah tahu ‘bau-bau’ AI.
Sebab itu juri atau pihak penapis perlu ada ilmu ini supaya lagu AI tidak terlepas masuk bertanding.

“Kita sudah ada perisian mengesan lagu AI, cuma tidak betul-betul membuat pengkelasan sama ada ditulis AI sepenuhnya atau hanya menggunakan bahagian tertentu,” ulasnya.

Sebelum ini, penganjur Anugerah Lagu Indie (ALI) mengesahkan terdapat satu lagu yang menggunakan AI melepasi senarai Top 90 sebelum penyertaan tersebut digugurkan dan digantikan pencalonan baharu.

Terdahulu, fasa pengundian bagi pemilihan Top 90 ALI dibuka pada penghujung Mei lalu, manakala proses pencalonan dan penghantaran lagu ditutup pada 15 Mac 2026.

Sementara itu, mengenai konsert Trilogi di Big Pillars, Astana Putra pada 18 Julai ini, katanya sebanyak 30 lagu bakal dibawakan mereka bertiga yang dibahagikan kepada beberapa segmen.

“Setakat ini persediaan berlangsung dengan sempurna dan diharap semua penyokong kami dapat bersama kami pada malam itu nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN