PERKEMBANGAN teknologi kecerdasan buatan (AI) membuka pelbagai peluang baharu dalam industri kreatif, termasuk penghasilan muzik, kandungan audio dan pelbagai bentuk hiburan digital.
Bagaimanapun, di sebalik kemajuan digital itu, timbul kebimbangan mengenai perlindungan hak cipta apabila karya kreatif digunakan untuk melatih model AI tanpa kebenaran pemilik asal.
Susulan itu Malaysia Music Rights Alliance (MMRA) tampil menyuarakan pendirian industri muzik tempatan untuk menggesa kerajaan memperkukuh undang-undang hak cipta bagi memastikan pembangunan AI berlaku secara bertanggungjawab dan menghormati hak pencipta.
MMRA yang dianggotai oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Music Publishers Association Malaysia (MPA), Music Authors’ Copyright Protection (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM) untuk mewakili kepentingan penulis lagu, penyanyi, pemuzik, penerbit serta pemegang hak cipta di Malaysia.
Dalam satu kenyataan, MMRA menegaskan bahawa sebarang penggunaan muzik berhak cipta bagi tujuan pembangunan sistem AI perlu mendapat kebenaran jelas daripada pemegang hak agar tidak bertentangan dengan pemilik hak cipta.
“Sebarang kandungan yang dihasilkan semata-mata oleh AI tidak seharusnya mendapat manfaat daripada perlindungan undang-undang hak cipta yang diberikan kepada pencipta manusia.
“MMRA komited memastikan hak pencipta ditegakkan dalam era AI dan berharap dapat bekerjasama dengan pembuat dasar untuk mewujudkan rangka kerja perundangan yang kuat melindungi industri kreatif Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, MMRA turut menuntut ketelusan lebih tinggi dalam pembangunan AI dan mencadangkan agar syarikat AI diwajibkan menyimpan rekod lengkap bahan berhak cipta yang digunakan dalam set data latihan bagi membolehkan pemegang hak mengesahkan penggunaan karya mereka dan menguatkuasakan hak sewajarnya.
“Bagi melindungi pengguna dan integriti ekosistem industri kreatif negara, kami menyokong pelabelan mandatori kandungan yang dihasilkan oleh AI.
“Orang ramai berhak untuk mengetahui sama ada muzik atau kandungan yang mereka gunakan adalah hasil seni manusia atau kod yang dihasilkan oleh mesin.

“Piawaian penanda air (watermarking) dan pelabelan yang jelas adalah penting untuk mengelakkan kekeliruan antara karya buatan manusia dan yang dihasilkan oleh mesin,” katanya.
Sementara itu pengerusi RPM, Datuk Sheila Majid berkata, setiap penghibur memiliki keunikan, identiti dan suara artistik tersendiri yang tidak dapat ditiru oleh peranti moden.
Pelantun lagu Sinaran itu turut menentang sekeras-kerasnya sebarang pengecualian Perlombongan Teks dan Data (TDM) yang membenarkan mesin belajar daripada seni unik penghibur tanpa persetujuan.
“Penghibur manusia mengubah komposisi mentah menjadi karya ekspresif melalui bakat, kreativiti dan kemahiran muzik.
“Kesenian mereka dibentuk oleh emosi manusia, membolehkan muzik menggerakkan penonton, memupuk hubungan dan menawarkan refleksi dan pembelajaran dengan cara yang sangat berkaitan.
“Walaupun AI boleh berfungsi sebagai alat untuk menyokong kreativiti, ia tidak boleh digunakan untuk menyalin atau meniru karya orang lain kerana itu merupakan plagiarisme.
“Muzik adalah satu bentuk seni yang bergantung kepada keaslian dan pemikiran kreatif, tidak boleh menggalakkan budaya menyalin atau plagiarisme dinormalisasikan tetapi sebaliknya melindungi dan memupuk kreativiti manusia yang tulen,” katanya.














