MISSOURI – Seramai 11 orang penerjun udara dan seorang juruterbang disahkan terkorban selepas pesawat ringan dinaiki mereka terhempas di negeri Missouri, lapor stesen penyiaran BBC.
Seorang jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Bates County berkata, pesawat yang disewa sebuah syarikat menganjurkan aktiviti terjun udara itu dilaporkan berlepas sekitar pukul 11.20 pagi (waktu tempatan) kelmarin sebelum mengalami kegagalan untuk berfungsi.
“Selepas gagal mencapai ketinggian sepatutnya, pesawat ini membelok tajam ke kiri dan terhempas kira-kira 182 meter dari Lapangan Terbang Memorial Butler, manakala semua 12 orang di dalamnya meninggal dunia,” kata jurucakap tersebut.
Sementara itu, Syerif Bates County, Chad Anderson semasa sidang akhbar memberitahu:
“Kami mengendalikan insiden ini, sebagai kes kemalangan jiwa besar-besaran”.
Menurutnya, pesawat itu bukan pesawat komersial, sebaliknya ‘pesawat tempatan yang berlepas dari lapangan terbang tempatan kami’.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memaklumkan bahawa pesawat jenis Pacific Aerospace P750 itu terhempas ketika sedang berlepas dari lapangan terbang tersebut.
“Perkhidmatan trafik udara tidak disediakan pada waktu kejadian,” jelas pihak FAA. – AGENSI














