fbpx
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama Anthony Loke (kiri) dan Mohamed Khaled (dua kanan) pada Majlis Kerjasama Strategik MOT dan Mindef di Putrajaya hari ini.

MRO pesawat, pemandu trak peluang kerja baharu pesara tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Peluang pekerjaan dalam industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat adalah antara bidang baharu yang sesuai diceburi pesara tentera susulan kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Pertahanan (Mindef).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sektor itu sesuai diceburi pesara tentera berdasarkan pengalaman dan kemahiran dimiliki anggota tentera ketika dalam perkhidmatan.

Beliau berkata, sektor pengangkutan ketika ini memerlukan tenaga kerja mahir dalam pelbagai cabang termasuk udara, laut dan darat yang selari dengan kemahiran dimiliki anggota tentera.

“Kemahiran yang diperoleh anggota tentera sepanjang perkhidmatan boleh dimanfaatkan dalam sektor awam kerana keperluan industri pertahanan dan pengangkutan mempunyai banyak persamaan.

“Daripada sektor pertahanan kepada sektor awam, kemahiran mereka hampir sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Kerjasama Strategik Antara MOT dan Mindef Berkaitan TVET di sini hari ini.

Katanya, antara bidang yang mempunyai potensi besar ialah MRO pesawat yang dijangka terus berkembang susulan pertambahan pesawat oleh syarikat penerbangan tempatan serta kemasukan pelaburan baharu dalam industri penerbangan.

Selain itu, katanya, pihaknya turut menawarkan peluang pekerjaan dalam bidang logistik terutama sebagai pemandu treler.

“Pemandu trak ini ramai juga dalam Angkatan Tentera Malaysia dan mereka ada pengalaman membawa pelbagai jenis jentera dan trak.

“Jadi, mereka sudah ada pengalaman dan sudah ada lesen tentera. Lebih menarik, kami menawarkan peralihan lesen memandu tentera kepada lesen memandu awam,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setiap tahun, lebih 5,000 anggota tentera yang bersara dan sebahagian besarnya sekitar 4,000 orang berusia 39 tahun ke atas.

“Adalah rugi sekiranya mereka ini tidak bekerja ataupun menceburkan diri dalam aktiviti ekonomi negara.  Pelbagai isu dan cabaran mereka akan dihadapi, antaranya tentu pada umur itu pencen mereka tak cukup.

“Ia juga satu kerugian untuk negara kerana dalam negara sedang pesat membangun dan negara memerlukan tenaga kerja, lebih-lebih lagi yang mahir dan berpengalaman,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN