fbpx
Hampir 50 juadah seperti nasi, mi, makanan bergoreng dan minuman ditawarkan di sini.

Rasa jalanan juadah Cina halal Singapura kini di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AROMA kari yang pekat, bunyi ayam goreng yang baru diangkat dari dapur dan deretan mangkuk mi panas yang dihidangkan segera, semuanya cukup membangkitkan suasana makanan jalanan yang begitu dekat dengan budaya masyarakat Asia.

Kini, pengalaman menikmati hidangan klasik jalanan Cina sebegitu tidak lagi perlu dicari jauh ke Singapura apabila jenama kopitiam popular dari negara itu, Encik Tan secara rasmi membuka cawangan pertama mereka di Malaysia di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang SkyPark), sekali gus membawa pilihan makanan jalanan Cina halal yang moden dan mudah diakses kepada pelanggan tempatan.

Encik Tan secara rasmi membuka cawangan pertama mereka di Malaysia, sekali gus membawa pengalaman menjamu selera yang menggabungkan cita rasa nostalgia dengan konsep moden dan mesra pelanggan.

Diasaskan di Singapura pada tahun 2014 di bawah Kumpulan Fei Siong, jenama tersebut cukup dikenali menerusi hidangan jalanan Cina yang disediakan menggunakan bahan halal.
Ia bahkan kini mempunyai 21 cawangan di Singapura serta satu cawangan di Jakarta, Indonesia.

Pembukaan di Malaysia pula menjadi langkah penting dalam perkembangan serantau mereka, khususnya untuk memenuhi permintaan pengguna Muslim yang mencari pilihan makanan jalanan Cina halal yang memikat selera.

Menariknya, cawangan pertama di Malaysia ini sedang melalui proses mendapatkan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dengan segala penyediaan menu dilakukan secara teliti menggunakan bahan yang disahkan halal.

Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Fei Siong, Tan Kim Siong, pembukaan di Malaysia merupakan permulaan kepada perancangan lebih besar untuk mengembangkan jenama itu ke bandar utama lain termasuk Kuala Lumpur dan Johor.

“Dengan gabungan hidangan yang dekat di hati, suasana moden dan pilihan menu halal yang luas, Encik Tan dilihat berpotensi menjadi destinasi baharu pilihan pencinta makanan jalanan Cina di negara ini, khususnya bagi mereka yang sentiasa mencari hidangan mudah, mengenyangkan dan penuh nostalgia,” katanya.

Berkeluasan kira-kira 1,800 kaki persegi dan mampu memuatkan sehingga 50 pelanggan pada satu masa, restoran itu tampil dengan konsep santai moden menerusi gabungan warna jingga dan putih yang menyerlah.

Hiasan mural bercahaya serta susun atur kaunter terbuka menjadikan suasana lebih mesra dan selesa sama ada untuk pelanggan yang ingin menjamu selera secara santai atau menikmati hidangan segera.

Apa yang membuatkan restoran ini menarik tentunya terletak pada pilihan menunya yang pelbagai.

Hampir 50 jenis hidangan ditawarkan meliputi aneka mi, nasi, makanan bergoreng dan minuman yang diinspirasikan daripada juadah klasik jalanan Cina.

Antara menu paling digemari pelanggan ialah chicken cutlet curry rice yang terkenal dengan kepingan ayam goreng rangup bersama kuah kari pekat dan berempah. Hidangan ini cukup memuaskan dan sesuai dinikmati pada bila-bila masa.

Bagi penggemar mi pula, mi bebola ikan menjadi antara pilihan wajib dicuba. Mi tersebut tampil ringkas tetapi penuh rasa menerusi tekstur bebola ikan yang kenyal dan kuah yang menyelerakan.

Selain itu, mi hokkien udang menawarkan gabungan rasa mi berkuah pekat bersama aroma udang yang kaya, manakala mi signatur pula menampilkan gabungan pelbagai ramuan premium yang menjadikannya hidangan lengkap bagi penggemar mi.

Dengan hampir 50 pilihan menu, apa yang pasti Encik Tan bukan sekadar membawa hidangan popular dari Singapura, tetapi turut menawarkan pengalaman menikmati makanan jalanan Cina halal dalam suasana moden, santai dan mudah diakses.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN