PETALING JAYA – Tindakan seorang pekerja stesen minyak menghalang seorang pemandu dipercayai warga asing mengisi petrol bersubsidi RON95 mendapat pujian ramai selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok oleh @Zachary, sebuah kereta dengan nombor pendaftaran Singapura dilihat mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak dipercayai di kawasan Taman Sri Andalas, Klang.
Dalam rakaman tersebut, seorang pekerja dilihat menghampiri pam dan menghalang seorang pemandu lelaki daripada meneruskan mengisi minyak.
Perkongsian itu menarik perhatian netizen yang rata-rata memuji ketegasan pekerja tersebut kerana mematuhi peraturan penjualan petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.
“Pekerja macam inilah yang kita nak. Bukan tunggu gaji sahaja, yang penting faham undang-undang negara dan bertanggungjawab kerana kerja yang dia buat merupakan sebahagian daripada amanah kepada negara,” puji @HaHa.
Seorang lagi pengguna media sosial, @Jejakasempoi menyifatkan pekerja tersebut layak diberikan penghargaan atas sikapnya yang tegas dan jujur ketika menjalankan tugas.
“Pekerja sebegini sesuai dinaikkan pangkat menjadi penyelia stesen minyak kerana amanah, tegas dan jujur. Penjaga kaunter pembayaran pula perlu lebih peka supaya perkara seperti ini dapat dikesan lebih awal,” ujarnya.
Dalam pada itu, terdapat pengguna media sosial yang menyindir tindakan sesetengah pihak yang mempersoalkan penggunaan petrol RON95 oleh pemilik kenderaan mewah.
“Pakai Audi, tetapi isi minyak kuning (RON95). Baik jual sahaja dan beli kereta lain,” kata seorang netizen. – KOSMO! ONLINE
@zacharoy_ Singaporean driver caught filling ron 95 at selangor 💀 #malaysia #singaporecars #ron95 #fyp #viralvideo ♬ original sound – PovBroWhat














