KOTA TINGGI – Barisan Nasional (BN) mempunyai pengalaman, rekod dan gabungan pemimpin berpengalaman termasuk muda yang diperlukan untuk mentadbir Johor.
Justeru, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rakyat tidak seharusnya mempertaruhkan masa depan negeri itu kepada parti yang masih belajar menjadi kerajaan.
Katanya, mentadbir Johor bukan satu tugas yang mudah kerana negeri ini mempunyai kedudukan strategik selain potensi ekonomi yang besar, sekali gus memerlukan kepimpinan yang berpengalaman untuk merancang dan melaksanakan pembangunan.
Menurut beliau, BN mempunyai kelebihan menerusi gandingan pemimpin veteran yang memahami selok-belok pentadbiran dan barisan pemimpin muda yang mampu meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Johor bukan negeri biasa. Ia mempunyai potensi besar dan berada di kedudukan yang sangat strategik. Sebab itu pentadbirannya memerlukan pengalaman, kestabilan dan perancangan yang jelas.
“Gabungan pemimpin berpengalaman dan generasi muda dalam UMNO serta BN adalah kekuatan yang membolehkan kerajaan terus mentadbir negeri dengan berkesan,” katanya selepas beramah mesra dengan penduduk Kampung Sedili Besar di sini hari ini.
Beliau turut membandingkan BN dan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang didakwa tidak menawarkan manifesto, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju pentadbiran sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.-KOSMO! ONLINE














