KUALA LUMPUR – Bekas pemain tenis negara, Khoo Er Yang memanfaatkan pengalaman yang ada dalam sukan raket itu ketika meraih dua gelaran pada Kejohanan Pickleball Malaysia AmBank 2026 hujung minggu lalu.
Pada aksi final yang berlangsung di Kelab Raket Playa, Subang semalam, pemain berusia 32 tahun itu memenangi acara beregu lelaki bersama Farreez Isqandar serta beregu campuran dengan Wong Joe Yan.
Gandingan Er Yang-Farreez memastikan gelaran beregu lelaki menjadi milik mereka selepas mencatat kemenangan 11-6, 11-8 ke atas Alexander Tran-Julian Lee bagi membawa pulang hadiah wang tunai RM4,200.
Er Yang berkata, kemenangan itu cukup bermakna memandangkan ia merupakan kejuaraan pertama mereka pada saingan musim ini, terutamanya selepas beberapa kali terkandas di separuh akhir dalam beberapa kejohanan terdahulu.
“Sudah tentu sangat gembira dengan kemenangan ini kerana kejohanan-kejohanan terdahulu banyak terkandas di separuh akhir. Akhirnya kami dapat mengatasi cabaran itu dan menjulang kejuaraan.
“Memang pengalaman bermain tenis memberi kelebihan kepada kami, terutamanya bagi menyesuaikan diri dengan sukan ini. Selain itu, kami juga mampu untuk berdepan tekanan dengan baik,” katanya.

Dalam acara beregu campuran pula, Er Yang-Joe Yan tidak berdepan banyak masalah apabila mencatat kemenangan mudah 11-6, 11-4 ke atas gandingan Benjamin Ngoi-Choong Kai Le.
Kejohanan itu turut menarik beberapa nama besar sukan negara serta selebriti termasuk Datuk Mirnawan Nawawi, Datuk AC Mizal serta pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.
Sementara itu, Pengarah Strategi Score Sports Management, James Tan menganggap penganjuran kejohanan tersebut berjaya mencapai matlamat dan berharap Pickleball Malaysia akan terus berkembang.
“Kami sangat gembira dengan sambutan serta kualiti kejohanan yang berlangsung sepanjang hujung minggu ini. Ia memberi keyakinan kepada kami untuk meneruskan kejohanan ini pada masa hadapan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














