PEMAIN kelab Kecskemeti TE, Peter Banyai didakwa berpotensi untuk menyarung jersi Harimau Malaya mengikut peraturan kelayakan yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana lahir di Malaysia.
Perkembangan tersebut didedahkan oleh Kecskemeti TE yang menandatangani Banyai pada minggu lalu termasuk mengesahkan bahawa Banyai lahir di Malaysia, tetapi kembali berhijrah ke luar negara pada usia tiga tahun.
Sekiranya maklumat itu benar, Banyai yang dibesarkan di Hungary layak untuk mewakili skuad kendalian Peter Cklamovski kerana lahir di sini sekali gus memudahkan proses menukar status sebagai pemain naturalisasi.
Malah, Banyai mungkin jadi pemain kedua yang layak untuk mewakili skuad negara walaupun tiada darah warisan selepas Fergus Tierney yang turut dilahirkan di sini tanpa sebarang darah kacukan.
Berdasarkan data di laman sukan antarabangsa, Transfermarkt.com, karier Banyai yang berusia 26 tahun hanya berlegar sekitar Liga Hungary apabila mewakili pasukan seperti Rakosmente, Ivancsa, Mezokovesd, Aqvital FC Csakvar sebelum berhijrah ke Kecskemeti.
Prestasi Banyai memuncak ketika menyarung jersi Csakvar pada musim lepas apabila menjaringkan 10 gol selain melakukan tujuh bantuan jaringan.
Buat masa ini, tiada pengesahan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau pengurusan Harimau Malaya, Malaysia NT sama ada berminat untuk mendapatkan khidmat Banyai atau sebaliknya.
Pasukan kebangsaan memiliki dua tugasan penting pada tahun ini apabila mengharungi Piala AFF 2026 yang akan bermula bulan depan selain Piala ASEAN FIFA pada September nanti.














