PETALING JAYA – Seorang anggota penjara didakwa di mahkamah, manakala lima lagi kakitangan sedang berdepan tindakan tatatertib susulan insiden yang berlaku di Penjara Taiping, Perak pada 17 Januari 2025.
Jabatan Penjara dalam kenyataannya berkata, pihaknya memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh.
“Hasil siasatan membawa kepada pertuduhan terhadap seorang anggota penjara di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan. Dalam masa sama, lima lagi kakitangan penjara sedang berdepan prosiding tindakan tatatertib yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara,” katanya.
Jelasnya, tindakan itu mencerminkan komitmen Jabatan Penjara dalam menegakkan prinsip akauntabiliti, integriti dan kedaulatan undang-undang tanpa melindungi mana-mana individu yang melanggar undang-undang.
Sebelum ini, media melaporkan lebih 100 tahanan di Penjara Taiping diserang 60 warden pada 17 Januari 2025 ketika proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E menyebabkan seorang tahanan, Gan Chin Eng, 61, meninggal dunia.
Susulan itu, Panel Inkuiri Awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengesahkan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia terhadap tahanan semasa dan selepas insiden tersebut.
Suhakam turut mengemukakan beberapa syor penambahbaikan termasuk tindakan terhadap pihak yang terlibat dan pembaharuan sistem pengurusan penjara.
Jabatan Penjara turut menegaskan pihaknya mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran undang-undang dalam perkhidmatan.
“Setiap aduan atau dakwaan yang diterima akan disiasat dan diteliti sewajarnya, manakala tindakan yang bersesuaian akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan yang didapati melakukan kesalahan,” katanya.
Dalam masa sama, jabatan itu menghormati sepenuhnya proses siasatan dan prosiding perundangan yang sedang berjalan dan akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa tanpa menjejaskan proses berkenaan.
Mengulas mengenai aspek pengurusan penjara, jabatan itu menjelaskan, operasi dan layanan terhadap penghuni penjara dibuat berpandukan Akta Penjara 1995 dan Peraturan-Peraturan Penjara 2000.
Katanya, komitmen itu menjadi asas kepada pengoperasian institusi penjara di seluruh negara bagi memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan pengurusan prospek dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berperikemanusiaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Penjara berkata, Kementerian Dalam Negeri komited meneruskan agenda pemodenan infrastruktur penjara termasuk cadangan pembinaan kompleks penjara baharu bagi menggantikan institusi lama yang tidak lagi memenuhi keperluan semasa.
Menurutnya, Penjara Taiping yang kini berusia 146 tahun dan berstatus Bangunan Warisan Kebangsaan dikenal pasti antara institusi yang memerlukan penggantian.
“Pembinaan fasiliti baharu yang lebih moden, selamat dan kondusif penting bagi meningkatkan kecekapan pengurusan institusi, memperkukuh aspek keselamatan serta memelihara kebajikan prospek dan pegawai penjara.
“Jabatan Penjara akan terus melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memperkukuh keyakinan awam terhadap sistem koreksional negara melalui tadbir urus yang telus, profesional dan berintegriti,” katanya. – KOSMO! ONLINE














